KUALA LUMPUR, 11 April- Beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat, susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi, mengakibatkan seramai 138 penduduk terjejas.
Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, antara kawasan paling terjejas ialah daerah Petaling, khususnya Kampung Tengah, Puchong, apabila 20 buah rumah dinaiki air sedalam 0.61 meter.
Enam penduduk terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
Di Kampung Seri Aman, Puchong, 30 buah rumah turut dinaiki air, melibatkan 120 penduduk terjejas.
Bagaimanapun, trend air dilaporkan menurun.
Manakala, di Kampung Padang Jawa, Shah Alam, 20 buah rumah terlibat dengan tiga penduduk terjejas dan air dilaporkan naik secara perlahan.
Di daerah Klang, sebanyak10 buah rumah di Taman Sri Jaya turut dinaiki air, membabitkan lapan mangsa yang dipindahkan ke PPS SK Sungai Binjai.
Sementara itu, banjir di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, sebanyak 12 rumah dinaiki air sedalam 1.12 meter, dengan 15 mangsa telah diselamatkan.
Keadaan semasa menunjukkan trend air semakin surut.
JBPM Selangor terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada.