fb fb fb fb fb

Rosmah bersalah kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion

KUALA LUMPUR, 1 September - Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Rosmah, 70, didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Kronologi kes rasuah tenaga solar Rosmah 

Selepas hampir empat tahun perbicaraan, Rosmah yang juga digelar First Lady Of Malaysia gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapinya.

Perbicaraan bermula pada 5 Februari 2020 dengan pendakwaan memanggil 23 saksi dalam perbicaraan sebelum menutup kesnya pada 11 Disember pada tahun yang sama

Pada 18 Februari 2021, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu diperintah membela diri atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Manakala, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Februari lalu selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Antara saksi yang dipanggil ialah Saidi, bekas Pegawai Khas Rosmah Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Rizal Mansor, merupakan saksi utama pendakwaan selepas mahkamah membebaskan saksi pendakwaan ke-21 itu daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan bagi pihak Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta,yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediamannya di Jalan Langgak Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.

Pada 26 Ogos 2022 - Tular dokumen yang mendakwa kertas keputusan penghakiman kes rasuah Rosmah.

Media Baharu