PUTRAJAYA, 1 September - Program Visa Premium (PVIP) Malaysia bakal diwujudkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata program berkonsepkan residensi melalui pelaburan buat warga asing itu juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia telah menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak yang mencadangkan kerajaan untuk memperkenalkan satu program yang membolehkan keberadaan lebih lama di dalam negara dan para peserta diberi peluang untuk belajar, melabur, bekerja dan menjalankan perniagaan dalam sektor yang menyumbang hasil kepada ekonomi negara.
"Program ini adalah yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dan ianya akan dibuka untuk permohonan mulai 1 oktober 2022," katanya dalam sidang media selepas mengumumkan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, di kementeriannya, di sini.
Tambahnya, beberapa dasar turut ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan PVIP Malaysia berjalan lancar serta tidak menggugat aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
KDN menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 peserta dalam tahun pertama program ini diperkenalkan dengan anggaran hasil kepada negara sebanyak RM200 juta dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion.
Datuk Seri Hamzah turut menyatakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan PDRM akan sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan program ini menepati dasar dan matlamat pelaksanaannya.