(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 9 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mengemukakan sesuatu perkara kepada menteri berkaitan.
Perkara itu berhubung usul tambahan UMNO agar dua jawatan parti itu, iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.
"Ia dalam peruntukan undang-undang. Ada kuasa RoS yang kemukakan kepada menteri. Ada kuasa menteri.
"Biar menteri jelaskan dan menteri sudah jelaskan", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pihaknya merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO mengenai usul tambahan tersebut.
Pengecualian diberi berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Kementerian memberi pengecualian kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu tahun ini.
(Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Emas kepada wakil Majlis Perbandaran Iskandar Puteri pada Majlis Perasmian Festival Taman KL /BERNAMA)