fb fb fb fb fb

Kuota tambahan 630MW, pembangunan jana kuasa TBB

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Kuota tambahan sebanyak 630 megawatt (MW) diperuntukkan bagi pembangunan projek penjanaan kuasa sumber tenaga boleh diperbaharui.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, kerajaan komited merangsang pertumbuhan dan pembangunan industri tenaga boleh baharu (TBB) dan kecekapan tenaga bagi menyokong aspirasi negara ke arah neutral karbon.

Jelasnya, peningkatan dalam pelaburan dan permintaan untuk bekalan elektrik hijau akan menyediakan peluang baharu untuk pemain industri TBB tempatan.

Malaysia mempunyai rantaian nilai industri TBB yang kukuh merangkumi peringkat pengeluaran hingga peringkat bekalan perkhidmatan.


(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,
Nik Nazmi Nik Ahmad/BERNAMA)

"Kita juga akan mengeluarkan kerangka untuk akses pihak ketiga untuk tenaga boleh baharu pada hujung tahun 2023 kerana banyak syarikat ada komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berkehendakkan tenaga hijau daripada pemaju-pemaju TBB, ada mekanisme lain hendak diperbaiki supaya proses dipercepatkan lagi", katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Pelancaran Malaysia Energy Transition Outlook kolaborasi bersama International Renewable Energy Agency (IRENA) di ibu negara.

Inisiatif itu mengetengahkan pilihan laluan tenaga rendah karbon bagi tahun 2050, melalui penerokaan potensi sumber penjanaan TBB tempatan yang lebih berdaya harap, mampu milik dan berupaya memenuhi permintaan tenaga lestari negara.

Beliau turut mengumumkan beberapa langkah segera untuk menyokong usaha peralihan tenaga agar merancakkan pertumbuhan TBB.

Media Baharu