(Sultan Selangor bersama Tengku Permaisuri Selangor berkenan melawat
model Hospital Cyberjaya selepas merasmikan hospital itu/BERNAMA)
CYBERJAYA, 9 Mac- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya, hari ini.
Hospital yang mula beroperasi pada 11 November tahun lalu itu dibina dengan kos sebanyak RM508.8 juta.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan menandatangani plak perasmian Hospital Cyberjaya.
(Sultan Selangor bersama Tengku Permaisuri Selangor berkenan melawat bilik farmasi selepas merasmikan Hospital Cyberjaya/BERNAMA)
Baginda turut berkenan melawat Jabatan Radiologi, Farmasi Pesakit Luar dan Wad Pediatrik hospital berkenaan.
Dibina atas tapak seluas 5.18 hektar, Hospital Cyberjaya merupakan hospital awam pertama menerima penarafan ‘Green Building Index’ tahap platinum.
Penarafan itu berdasarkan kecekapan tenaga, kecekapan penggunaan air dan bahan mesra alam melalui pengasingan bahan buangan secara efektif.