(Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) bersama Tengku Permaisuri Selangor
Tengku Permaisuri Norashikin (tiga, kanan) berkenan bergambar kenangan bersama
pegawai tertinggi Hospital Cyberjaya selepas merasmikan hospital itu hari ini/Bernama)
CYBERJAYA, 9 Mac- Hospital Cyberjaya berpotensi dijadikan hospital rujukan utama sebagai kesiapsiagaan menghadapi apa-apa bencana di pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata ini kerana kedudukan Hospital Cyberjaya yang strategik.
"Saya juga ingin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keperluan untuk menyediakan sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Cyberjaya.
"Ia untuk menampung keperluan semasa serta peranan hospital ini sebagai hospital rujukan bagi sebarang kejadian bencana KLIA dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya dalam ucapan sempena perasmian Hospital Cyberjaya, di sini hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya itu yang dibina dengan kos kira-kira RM508.8 juta.
Dr Zaliha dalam teks ucapan yang dibacakan timbalannya, Lukanisman Awang Sauni berkata arena sukan Litar Antarabangsa Sepang dan Silicon Valley Cyberjaya juga akan dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tersebut.
(Dr Zaliha Mustafa/Foto fail Bernama)
Pembinaan Hospital Cyberjaya bertujuan mengurangkan kesesakan di hospital berdekatan terutama Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.
Hospital Cyberjaya yang mempunyai sembilan tingkat beroperasi sebagai hospital pakar major yang menyediakan perkhidmatan kepakaran canggih dengan lapan dewan bedah, 10 bilik bersalin serta kapasiti 288 katil.
Malah, hospital itu juga akan memberi manfaat kepada kira-kira 282,000 penduduk di Sepang termasuk kawasan mukim Dengkil dan Labu.