KUALA LUMPUR, 9 Mac- Nilai eksport kayu dan produk kayu meningkat sebanyak 11 peratus tahun lalu kepada RM25.2 bilion berbanding RM22.7 bilion pada 2021.
Ia melibatkan eksport produk perabot kayu berjumlah RM10.4 bilion, papan lapis, RM3.1 bilion dan kayu bergergaji, RM2.5 bilion.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ketika ini pasaran perabot tempatan berjaya dieksport ke lebih 160 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China, Australia dan Singapura.
"Saya difahamkan bahawa Malaysia adalah antara 10 pengeksport perabot utama dunia. Sementara itu, pasaran domestik industri perkayuan pada tahun 2021 pula adalah bernilai sebanyak RM17 bilion menunjukkan peningkatan 6.25% iaitu sebanyak RM16 bilion berbanding tahun 2020.
Namun begitu, penyertaan Bumiputera dalam industri perkayuan masih lagi terhad. Usahawan Bumiputera hanya menyumbang kurang 1.0% daripada jumlah eksport kayu dan produk kayu pada tahun 2022," kata Fadillah kepada pemberita RTM ketika merasmikan Wood & Lifestyle Fair sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di ibu negara.
(Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof ditemui pemberita RTM ketika merasmikan
Wood & Lifestyle Fair sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di ibu negara)
Pihaknya komited melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan dan pemerkasaan Bumiputera industri perkayuan antaranya program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu SME Bumiputera.