fb fb fb fb fb

Peratus keputusan UPKK 2022 menurun

PUTRAJAYA, 9 Mac- Peratusan lulus keseluruhan bagi Ujian Pencapaian Kelas KAFA (UPKK) bagi tahun 2022 menunjukkan penurunan berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak 88 peratus berbanding 93 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbandingan dibuat berdasarkan tahun 2019 kerana UPKK 2022 dan 2021 telah dilaksanakan serentak akibat situasi pandemik.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar )

Selain itu, seramai 19,266 murid telah berjaya mendapat lapan A dengan mata pelajaran amali solat memperoleh kadar lulus sebanyak 100 peratus.

Dalam pada itu, calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan mencatatkan rekod tertinggi iaitu hampir 9,000 murid daripada sejumlah 244,000 yang mendaftar.

"Kalau kita tengok jumlah yang tidak hadir peperiksaan itu dalam seramai 8,900, jadi yang itu pun adalah kesan daripada PKP. Mungkin anak-anak ini sudah seronok duduk pembelajaran dalam talian 'online' lepas itu hendak pergi ke sekolah mahupun hadir itu jadi satu cabaran bagi mereka. Jadi ada terkait juga hubungan PKP itu dengan jumlah yang tidak hadir dan juga penurunan keputusan tadi," katanya.

Jelasnya, kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh, tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian yang semakin mencabar.

Beliau bercakap demikian dalam Sidang Media Khas Keputusan UPKK 2022 di Putrajaya.

Ibu bapa boleh mula menyemak keputusan pada 9 Mac menerusi khidmat pesanan ringkas dan juga laman sesawang JAKIM.

Walaubagaimanapun, keputusan yang dipaparkan hanyalah keputusan secara umum sahaja, manakala slip keputusan penuh boleh diperoleh daripada sekolah masing-masing pada, 10 Mac bermula jam 9.30 pagi.

Media Baharu