SEREMBAN, 21 Januari- Rondaan lebih kerap akan dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan di beberapa lokasi panas yang sering berlaku kemalangan jalan raya.
Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Abd Rahman Ali berkata anggotanya juga turut bersedia di beberapa lokasi agar dapat memberikan tindak balas lebih pantas jika berlaku kecemasan.
"Kita juga telah mengenal pasti beberapa lokasi panas yang sentiasa berlaku kemalangan terutama di kawasan Nilai dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.
"Kita juga ada pasukan pantas yang diletakkan di Ainsdale dan juga Pedas Linggi untuk memberi tindak balas yang lebih cepat sekiranya berlaku insiden di kawasan tersebut," katanya.
(Abd Rahman Ali)
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baru Cina Zon 1, di sini hari ini.
Abd Rahman turut mengesyorkan orang ramai untuk meletakkan alat pemadam api dalam kenderaan agar dapat digunakan sekiranya berlaku kebakaran di peringkat awal.
Dalam pada itu, Exco Wanita Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon menyokong penuh Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Zon 1 Negeri Sembilan dan berharap agar kempen itu dapat terus dilaksanakan oleh pihak JBPM Negeri Sembilan.
"Kita kena ada kesinambungannya, tidak boleh satu kempen saja, kempen ini mesti diteruskan biar melekat dalam hati dan minda orang ramai," menurut beliau.
(Nicole Tan Lee Koon)