fb fb fb fb fb

RON95: Tiga stesen minyak di Johor disiasat

JOHOR, 6 April - Tiga buah stesen minyak di Johor Bahru sedang disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Johor berhubung dakwaan menjual RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

Menurut pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, setakat ini, tujuh aduan diterima sejak pembukaan sempadan Malaysia Singapura, 1 April lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti itu boleh terus disalurkan kepada KPDNHEP, lengkap dengan lokasi stesen minyak.

Justeru, pengusaha stesen minyak diingatkan agar tidak menjual RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing kerana subsidi itu dikhususkan kepada kenderaan tempatan.

"Tindakan diambil kepada pengusaha stesen minyak kerana lesen dikeluarkan bersempena peraturan.

"Syarat syarat telah memang ada kita tak nafikan mereka kerja di Singapura tetapi syaratnya kereta pendaftaran asing tak dibenarkan itu yang penting," katanya selepas mengadakan operasi pemantauan stesen minyak di Jalan Skudai, di sini hari ini.

Sejak pembukaan sempadan Malaysia Singapura, beberapa video warga Singapura mengisi minyak RON95 di Johor Bahru tular di media sosial.

Pada 1 Ogos 2010, kerajaan melarang penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing.





Media Baharu