fb fb fb fb fb

Pematuhan SOP Bazar Ramadan di Kelantan memuaskan

KOTA BHARU, 6 April - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan seluruh Kelantan pada minggu pertama mencapai tahap memuaskan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemantauan di bazar Ramadan telah dijalankan oleh kesemua ketua polis daerah semalam bagi memastikan SOP dipatuhi oleh pengunjung dan peniaga.

Menurut beliau, pihaknya mendapati sedikit kesesakan berlaku di bazar namun pihaknya yakin ia dapat dikawal berikutan rakyat di negeri itu telah memahami gaya hidup norma baharu setelah lebih dua tahun berdepan situasi COVID-19.

Bagaimanapun, pihaknya khuatir apabila memasuki minggu kedua puasa, rakyat terleka dan terlupa akan SOP dalam keghairahan membeli juadah berbuka.

“Rakyat Kelantan sudah mempunyai ilmu tinggi dalam mengawal jangkitan covid.

"Kehadiran pasukan polis terutama di bazar bazar Ramadan menampakkan rakyat lebih patuh dan mungkin bila kita tidak ada itu agak berkurangan apa yang penting jangan sahaja melihat kepada pihak berkuasa tetapi sebenarnya kesedaran kita dalam menangani covid itu sangat-sangat kita utamakan,” katanya selepas menjadi tetamu khas dalam slot “Kecek Kiro Kito” di Konti KELANTANfm menerusi segmen Zon 10-2, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya turut berpuas hati dengan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan membawa sejadah sendiri walaupun tiada lagi penjarakan fizikal di masjid dan surau.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat menjadi tetamu khas dalam slot “Kecek Kiro Kito” di Konti KELANTANfm)

Media Baharu