fb fb fb fb fb

Penstrukturan tol inisiatif sejak 2002, bukan dasar kerajaan PH - Fadillah

KUALA LUMPUR, 6 April- Penstrukturan tol yang menyaksikan tiada kenaikan kadar tol bagi empat lebuh raya di Lembah Klang sehingga tamat tempoh konsesi, bukan dasar Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau menegaskan inisiatif itu telah dilaksanakan sejak 2002 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menetapkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensi berkaitan untuk berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi penstrukturan semula kadar tol lebuh raya-lebuh raya utama.

Fadillah berkata KKR telah memulakan inisiatif berkaitan tol sejak 2002, manakala PH menjadi kerajaan pada 2018 iaitu 16 tahun selepas itu.

“Rundingan dilaksanakan bersama syarikat konsesi berdasarkan unjuran trafik dan apabila sesebuah lebuh raya berkenaan telah siap dan digunakan, maka jumlah trafik sebenar akan diperoleh dan digunakan untuk rundingan penstrukturan.

“Penstrukturan merupakan suatu inisiatif berterusan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar tol yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di empat lebuh raya sehingga tempoh konsesi syarikat berakhir adalah kelangsungan dasar yang dimulakan gabungan itu ketika menjadi kerajaan.

 


(Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof)

Media Baharu