fb fb fb fb fb

Rombakan kecil akan dibuat, calon belum muktamad

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas pelancaran bukunya di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Disember - Perdana Menteri memberi bayangan bahawa rombakan kecil akan dilakukan bagi mengisi kekosongan dalam kabinet kerajaan.

Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun beberapa individu yang bersesuaian telah disenarai pendek, namun setakat ini ia belum dirujuk dengan mana-mana ketua parti.

"Saya sedang memikirkan perihal ini tanpa terburu-buru. Saya perlu merenung dan belum lagi berbincang dengan semua ketua parti.

Biarpun pelantikan ini adalah prerogatif Perdana Menteri, namun saya berterima kasih atas pendapat mereka yang pada akhirnya keputusan adalah di tangan saya," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku 'Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times', di ibu negara.

Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau berkata, senarai itu akan dirujuk bersama ketua parti politik yang membentuk Kerajaan MADANI sebelum apa-apa keputusan dimuktamadkan.

Sementara itu, beliau menafikan terdapat dakwaan bahawa adanya campur tangan Kabinet dalam urusan Dewan Rakyat berhubung isu penggantungan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Kabinet juga dianggotai ketua parti yang akan memberi nasihat kepada rakan  'backbench' dan perkara ini biasa. Saya ingat amalan sedemikian sudah berpuluh tahun begitu, termasuk ketika mereka dalam kerajaan," katanya.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM