fb fb fb fb fb

Rombakan kabinet tambah kecekapan tadbir negara

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Rombakan kabinet adalah konsep kerajaan yang lebih efisien untuk memenuhi keperluan semasa negara.

Menurut Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Prof Madya Dr Hasnah Toran, penstrukturan semula jemaah menteri juga dapat menambahkan kecekapan pentadbiran negara.

"Contohnya kewujudan dua kementerian baru, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, ia sangat sesuai dengan keperluan hari ini. Kita lihat dua kementerian yang dipisahkan ini dapat fokus dengan lebih baik hala tuju kementerian masing-masing," katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini.

Tambah Dr Hasnah, walaupun terdapat sedikit pertambahan dari segi jumlah menteri yang dilantik, namun jumlah itu masih jauh lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.

Menurutnya lagi, dengan kemasukan muka-muka baharu yang berpengalaman di dalam Kabinet kali ini, ia dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Rombakan Kabinet Kerajaan Madani menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

ZEHRA BINTI ZAMBRI