PUTRAJAYA, 16 Disember- Dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Pengumuman itu dibuat Datuk Seri Anwar pada sidang media khas pengumuman barisan Kabinet Kerajaan MADANI, di sini.
Mereka yang digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kini disandang Hannah Yeoh, yang sebelum ini merupakan Menteri Belia dan Sukan.
Sementara itu, portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diambil alih bekas timbalan menterinya, Senator Dr. Zulkifli Hassan.
Bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pendakwah Marhamah Rosli dilantik berkuat kuasa hari ini.
Turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy, yang digantikan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.
Menurut Datuk Seri Anwar, rombakan dan pelantikan baharu itu merupakan langkah penstrukturan semula Kabinet bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Rombakan kali ini merupakan yang kedua sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, selepas rombakan pertama dilaksanakan pada 12 Disember 2023.
Sebelum ini, Kabinet Kerajaan MADANI berdepan empat kekosongan portfolio menteri susulan beberapa peletakan jawatan.
Antaranya melibatkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang meletak jawatan pada 8 November lalu, diikuti Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang berundur berkuat kuasa 17 Jun selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei lalu.
Selain itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan berkuat kuasa 4 Julai selepas tewas dalam pemilihan Naib Presiden PKR, manakala jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri kekal kosong selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tamat tempoh pelantikan sebagai Senator.