fb fb fb fb fb

RMK13 perlu selesaikan isu guru, prasarana & kebajikan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu memberi penekanan khusus terhadap isu kekurangan guru, prasarana sekolah yang uzur serta kebajikan warga pendidik yang kian mendesak, menurut pakar dan kesatuan guru.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, perancangan pendidikan negara mesti menjawab keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar rancangan di atas kertas.

“Jika diambil kira angka bajet semasa, kerajaan membelanjakan hampir RM80 bilion setahun untuk pendidikan dan pengajian tinggi.

Dalam tempoh lima tahun RMK13, jumlah ini boleh mencecah RM400 bilion. Maka perancangan ini mesti benar-benar menyelesaikan isu pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Tambah beliau, RMK13 perlu disusun dengan keanjalan dan daya tahan untuk menangani perubahan pesat sektor pendidikan, selaras aspirasi melahirkan sistem yang kalis masa depan.

“Fokus mesti diberi kepada dua perkara utama iaitu kompetensi guru dan fasiliti pembelajaran kondusif.

Guru yang mencukupi, mahir dan didukung kemudahan yang sesuai adalah asas pendidikan progresif,” jelasnya.

Dr Anuar turut menekankan keperluan memperkasa latihan guru dalam pedagogi baharu dan kemahiran digital, serta memastikan kebajikan mereka terus dipelihara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon menggesa kerajaan menyelesaikan segera isu kekurangan guru.

“Masalah ini berpunca daripada persaraan wajib, pembukaan sekolah baharu dan pengambilan guru yang tidak mencukupi.

Diharap RMK13 menjadi titik tolak kepada penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Menurut beliau, kekurangan pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG), bebanan tugas guru serta isu pengiktirafan kelayakan akademik turut perlu diberi perhatian.

“Ramai guru berkelulusan sarjana dan PhD tidak mendapat ruang untuk berkhidmat di institusi latihan guru.

Mereka sepatutnya diberi peluang dengan skim ganjaran yang kompetitif,” tambahnya.

Dalam pada itu, isu prasarana turut menjadi kebimbangan, termasuk keadaan makmal, bilik guru dan pendawaian lama yang berisiko kebakaran, terutama di sekolah dua sesi yang sesak.

“Prasarana digital juga menekan guru hingga ada yang terpaksa bekerja hingga malam kerana sistem yang sering tergendala.

KPM perlu mengurus sistem digital secara profesional, bukan bergantung sepenuhnya kepada konsultan luar,” ujarnya.

NUTP turut mencadangkan semakan semula geran perkapita bagi mata pelajaran memandangkan kos semasa sudah tidak sepadan dengan kadar lama yang digunakan.

RMK13 dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai ini sebagai pelan pembangunan nasional lima tahun menggantikan RMK12.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN