fb fb fb fb fb

RUU Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan

PARLIMEN, 28 Julai -Rang Undang-Undang Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025 telah diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RUU itu bukan sahaja bertujuan mengesahkan, sekali gus memastikan pematuhan undang-undang.

Beliau berkata, ia juga dapat mengurangkan liabiliti kewangan kerajaan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran.

"Usaha sedang dijalankan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk memperkemas kawal selia dan pengurusan sektor feri termasuk penyaluran subsidi bahan bakar dan peralihan pentadbiran kepada agensi yang lebih sesuai.

"Selain itu, penggunaan sistem tiket elektronik serta penubuhan Task Force Feri Pengkalan Kubor yang akan menilai semula struktur tambang dan tadbir urus secara menyeluruh," katanya ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) mengenai pembinaan jambatan rentas di antara Sungai Golok dan Tak Bai, Ahmad berkata, keseluruhan skop kerja awalan termasuk reka bentuk jalan dan jambatan baharu menghubungkan Pengkalan Kubor ke Tak Bai, dijangka selesai pada April 2026.

Katanya, kerja pembinaan sebenar bagi projek tersebut akan dirancang dan diangkat semula kepada agensi pusat setelah tamat kerja awalan itu untuk pertimbangan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

TETITIA YUSOFF