fb fb fb fb fb

RMK13: Ibu bapa setuju wajibkan prasekolah usia lima tahun

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Langkah Kerajaan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terus menerima sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan ibu bapa.

Bagi seorang ibu, pelaksanaan ini merupakan satu inisiatif yang tepat dalam menyediakan asas pendidikan yang kukuh kepada kanak-kanak seawal usia.

“Di usia ini mereka sangat cepat menyerap ilmu dan dapat membentuk sikap dan juga kemahiran asas seperti interaksi sosial dan juga disiplin. Bagi saya, mewajibkan prasekolah adalah sangat baik kerana ia dapat memastikan semua kanak-kanak tidak mengira latar belakang mendapat satu peluang permulaan yang sangat baik dan adil terutama sekali dalam bidang pendidikan,” kata Nor Hawanis Abd Aziz, ibu kepada empat orang anak.

Seorang lagi ibu, Sadatul Shima Abd Hamid, turut berkongsi pandangan yang senada, dan memaklumkan bahawa beliau sendiri menghantar anak pertamanya ke prasekolah seawal usia lima tahun.

“Terus 5 tahun macam anak saya pun insya-Allah saya akan hantar ke sekolah bila 5 tahun. Jadi saya setuju, memang setuju apabila diwajibkan dan kita boleh tengok sekarang ibu bapa pun sama, ramai juga walaupun berpendapatan rendah, mereka sanggup memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah seawal 4 hingga 5 tahun.

"Jadi kita boleh tahu apabila mereka ini, anak-anak ini dihantar ke prasekolah yang awal 4 hingga 5 tahun macam tu. Ia dapat menajamkan lagi sosial skil mereka," ujarnya.

Langkah itu dilihat bukan sahaja mampu merapatkan jurang pendidikan antara masyarakat bandar dan luar bandar, malah dapat meningkatkan tahap literasi dan kemahiran sosial kanak-kanak sebelum mereka melangkah ke alam pendidikan formal.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67 bilion kepada sektor pendidikan di bawah RMK13, termasuk usaha membina lebih banyak kemudahan prasekolah di seluruh negara.

Pelaksanaan wajib prasekolah dijangka bermula pada sesi persekolahan 2026, dengan pendaftaran dibuka secara berperingkat mulai tahun ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI