fb fb fb fb fb

RMK13: B40, belia lega kerajaan perluas rumah mampu milik

Sejuta unit rumah mampu milik akan dibina antara 2026 hingga 2035/Foto arkib BERNAMA

IPOH, 1 Ogos - Inisiatif kerajaan untuk menyediakan sejuta rumah mampu milik disambut baik rakyat di negeri ini yang dilihat sebagai peluang miliki rumah sendiri.

Rata-rata menyifatkan reformasi perumahan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) itu mampu meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Bagi Nik Norfarhana Nik Azmi, inisiatif itu memberi kelegaan kepada golongan belia, berpendapatan rendah dan keluarga muda, khususnya dalam kelompok B40 dan M40, yang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Saya rasa amat bersyukur dan gembira kerana ini salah satu inisiatif kerajaan yang memberi harapan kepada rakyat berpendapatan rendah atau sederhana untuk memiliki rumah,” katanya ketika ditemui RTM.

Bagi Syahrizal Saleh pula, pengumuman Perdana Menter memberi kelegaan kepada ramai rakyat yang selama ini hanya mampu mengimpikan rumah sendiri.

“Kita bersyukur sebab PMX pandang kami golongan B40. Sekurang-kurangnya sekarang ada peluang untuk beli rumah yang diidamkan,” katanya.

Sementara itu, Fadzilatus Ismah Mohamed Isa menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai bijak dan wajar, memandangkan rumah merupakan keperluan asas yang penting.

“Ini membantu meringankan tekanan kewangan rakyat dan beri peluang anak muda miliki rumah sendiri,” katanya.

Hisham Fattah turut berkongsi pandangan sama dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman yang disifatkan sebagai melegakan rakyat biasa.

“Bila umum rumah mampu milik macam ni, kami rakyat biasa pun rasa mampu untuk beli,” katanya.

Dalam pembentangan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri mengumumkan sejuta unit rumah mampu milik akan dibina antara 2026 hingga 2035 bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat mendiami kediaman yang selesa dan selamat.

GRACE AISYAH KEDAYAN