PUTRAJAYA, 1 Ogos – Latihan intensif dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada penjawat awam disifatkan sebagai langkah tepat dalam meningkatkan kecekapan, produktiviti serta penjimatan kos dalam sektor perkhidmatan awam.
Rata-rata penjawat awam yang ditemui RTM melihat inisiatif itu sebagai kemahiran kendiri dalam pemantapan teknologi terkini.
Noorhafizatul Sarah Thahil yang bertugas dalam bidang pemasaran berkata, kemahiran AI membantunya mempercepatkan urusan kerja yang sebelum ini banyak dilakukan secara manual.
“Dengan penggunaan AI dan pendigitalan, tugasan harian lebih mudah dan efisien. Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah manual dan menjimatkan bajet kerajaan,” katanya ketika ditemui RTM hari ini.
Bagi Nur Jamizatunasma Abdul Nasir, penggunaan teknologi digital boleh mengurangkan penggunaan kertas serta kos operasi seperti pencetakan dan penyimpanan dokumen.
“Dengan AI, kita dapat minimumkan penggunaan kertas manual, menjimatkan kos, dan membantu kerajaan menjadi lebih berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Siti Rasidah Madli berkata, teknologi AI juga sangat membantu dalam penyediaan laporan dan pembentangan mesyuarat harian.
“Kalau ada dua tiga mesyuarat sehari, AI sangat berguna untuk siapkan pembentangan cepat dan lebih tersusun. Kursus seperti ini memang perlu untuk penjawat awam,” ujarnya.
Penjawat awam bakal menerima latihan intensif dalam bidang digital dan AI sebagai usaha memperkasakan bakat digital negara serta memanfaatkan analitik data raya bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inti pati RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.