KUALA LUMPUR, 1 OGOS - Harga telur ayam kekal berpatutan walaupun subsidi bagi bahan keperluan asas itu ditamatkan hari ini.
Keadaan tersebut memberikan kelegaan kepada rakyat Malaysia kerana telur ayam kini masih dijual pada harga yang munasabah.
Rata-rata pengguna yakin harga telur akan kekal pada paras rendah terutama apabila telur gred khas diperkenalkan kelak.
Menurut Maarof Aziz, sokongan sentiasa diberikan terhadap inisiatif kerajaan untuk memastikan bekalan telur sentiasa mencukupi.
"Tak ada masalah, kita sokong. Kita beli sebab telur ini makanan harian kita. Boleh buat dadar telur untuk makanan nasi kalau kecemasan, kan? Yang penting, asalnya kena ada telur. Saya sokong kerajaan," katanya.
Muhammad Firdauz Borhan pula berkata, inisiatif kerajaan yang akan memperkenalkan gred telur khas pada harga berpatutan dilihat sebagai langkah proaktif kerana ia dapat membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan asas tersebut dengan lebih mampu milik.
"Setakat ini, saya rasa saya masih mampu membeli telur. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan gred telur khas. Jadi, setakat ini semuanya boleh diterima kerana harganya masih mampu milik," katanya.
Sementara itu, Muhamad Syahmi Faiz Mohamad Fikri dan Rabiatul Adawiyah Abdul Rahim bersetuju dengan komitmen kerajaan untuk terus membekalkan telur pada harga yang berpatutan melalui program seperti Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam berkuat kuasa 1 Ogos sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.
Langkah itu diambil sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam.
Menurut KPKM, dengan keadaan pasaran yang kini semakin stabil, subsidi tersebut disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus.