fb fb fb fb fb

RM979.8 bilion hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Disember 2021 berjumlah RM979.8 bilion atau 63.4% daripada Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK).


Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata manakala nisbah hutang statutori kerajaan Persekutuan, merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 59.7 peratus daripada KDNK.

Tambahnya, KDNK terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.6% pada Disember selepas pertumbuhan memberangsangkan 5.4% dicatat pada November dan 2.7% pada Oktober tahun lalu.

Secara keseluruhan, KDNK pada 2021 kembali mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1% berbanding penguncupan 5.6% pada tahun 2020.

"Pemulihan ekonomi pada tahun 2021 dijangka terus menyokong KDNK negara ke arah kembali mencapai paras prapandemik. Di samping itu, pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh langkah di bawah Bajet 2022 yang masih bersifat mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berhubung keadaan fiskal negara.


(Datuk Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar
ketika sesi Soal Jawab Lisan hari ini)

Tambahnya buat masa ini kerajaan masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 di antara 5.5% dan 6.5%.

Unjuran itu selari dengan unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia; masing-masing pada 5.7% dan 5.8%.

Dari sudut fiskal, bagi tahun 2021, kerajaan telah menyemak semula anggaran defisit fiskal daripada 5.4% kepada 6.5% peratus berbanding KDNK berikutan penularan varian baharu COVID-19, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan dan penyediaan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan.

Bagaimanapun, berikutan prestasi kutipan hasil pada suku keempat yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi, defisit fiskal 2021 telah mencatat 6.4% kepada KDNK.

Bagi tahun 2022, kerajaan menyasarkan defisit fiskal lebih rendah pada paras 6%.

Media Baharu