fb fb fb fb fb

MRC peruntuk RM45,000 bantu pelajar di 27 sekolah di Labuan menerusi program 'Back To School'

LABUAN, 21 Mac- Majlis Getah Malaysia (MRC) komited menyampaikan bantuan keperluan persekolahan menerusi program 'Back To School' kepada 27 buah sekolah menengah dan rendah di Labuan membabitkan peruntukan lebih RM45,000.

Bantuan itu dapat memanfaatkan seramai hampir 400 orang pelajar yang terpilih yang terdiri daripada golongan keluarga B40.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad berkata, program itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Labuan dan ia merupakan siri jelajah prihatin MRC yang terakhir dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau berkata, bantuan itu disalurkan melalui Majlis Gabungan Guru Besar Sekolah Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia.

Selain itu, pihaknya juga turut memberikan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di pulau tersebut.

"Istimewanya kali ini kita juga memberi sumbangan.. kepada PIBG, yuran PIBG anak-anak sekolah itu kita turut bantu dalam ini jadi secara keseluruhannya satu pelajar akan mendapat manfaat sebanyak lebih kurang RM195," kata Nor Hizwan.

Sementara itu, MRC terus komited merangka perancangan yang memfokuskan pelaksanaan program “4M” iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Mendengar.

Ini kerana masih ada segelintir pelajar tidak dapat menguasai sepenuhnya asas pembelajaran berkenaan.

"Masih terdapat lagi di kalangan anak-anak murid khususnya di kalangan B40 yang kita kenal pasti melalui rakan strategik kita tadi yang mereka masih lemah dalam 4M ini jadi kita ambil kesempatan selepas program 'Back To School' ini fasa kedua untuk pendidikan MRC ialah kita memberi bantuan kepada murid-murid yang memerlukan latihan dalam 4M ini, " tambahnya.


(Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad)

Media Baharu