fb fb fb fb fb

RM50 juta untuk Program Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran

KOTA KINABALU, 25 Ogos – Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025, dengan RM30 juta daripadanya disalurkan khusus kepada penyedia perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, program tersebut memberi penekanan kepada teknologi kesihatan digital termasuk telehealth dan sistem preskripsi elektronik (e-prescription).

“Hujung tahun ini kita akan laksanakan projek perintis menggunakan dron untuk menghantar ubat, khususnya bagi masyarakat di pedalaman dan luar bandar yang sukar mendapatkan rawatan di klinik kesihatan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025 peringkat negeri Sabah, hari ini.

Antara teknologi yang diketengahkan termasuk preskripsi elektronik yang membolehkan pesakit mendapatkan konsultasi dalam talian, manakala ubat boleh terus diambil di farmasi.

Sabah dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana potensinya dalam pembangunan teknologi kesihatan luar bandar, termasuk pelaksanaan projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron di Klinik Kesihatan Tawau dengan kerjasama NADI.

Tambahnya, program berkenaan menyasarkan penyedia kesihatan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai langkah mempercepatkan pendigitalan sistem kesihatan negara.

Setakat ini, lebih 2,800 penyedia kesihatan PMKS di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.

Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025 dijangka membuka ruang lebih luas kepada pendigitalan sistem kesihatan negara di samping memperkasa komuniti PMKS agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE