fb fb fb fb fb

14 jalan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Orang ramai diingatkan untuk merancang perjalanan dan tiba awal untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa mengingatkan masyarakat agar peka dan mematuhi arahan dengan tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan yang berkemungkinan menganggu lalu lintas pada hari tersebut.

Jelasnya, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas ulang–alik (Shuttle Bus) yang disediakan secara percuma dan perkhidmatan teksi air.

"Ada 80 buah bas yang telah disediakan oleh kerajaan untuk memastikan pengunjung-pengunjung boleh datang ke Dataran Putrajaya, boleh sampai ke Core Island menggunakan perkhidmatan bas dan teksi air.

"Kita jangkakan yang akan hadir penghujung yang kali ini lebih kurang dalam 100,000 lebih. Sepertimana tahun lepas, saya sampai di Dataran Putrajaya dalam pukul 4 pagi, pengunjung dah penuh dah. Kita banggalah memang kita bangga, cumanya saya harap ikut peraturan lalulintas yang sedia ada ikut arahan-arahan yang diberikan oleh anggota-anggota yang sedang bertugas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan 14 laluan sekitar Putrajaya akan ditutup bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari; pada 26 Ogos sehingga 29 Ogos ini bagi raptai sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Ia melibatkan Lebuh Wawasan/ Persiaran Perdana; Jalan Tun Razak/ Lebuh Bestari; Jalan Tun Razak/ Jalan P2K; Jalan Tun Razak/ Jalan Pembangunan; Jalan Tun Razak/ Jalan P3C; Jalan Tun Razak/ Jalan P3F; Jalan Tun Razak/ Jalan Kemerdekaan; Lebuh Setia/ Jalan Perpaduan; Lebuh Saujana/ Persiaran Perdana; Lebuh Setia/ Jalan Tun Hussien; Jalan Kemerdekaan/ Jalan Tun Hussien; Jalan Pembangunan/ Jalan Tun Hussien; Lebuh Bestari/ Jalan Tun Hussien; dan Dataran Putra/ Persiaran Perdana.

Manakala, 14 jalan utama akan ditutup sepenuhnya bermula 10 malam pada 29 Ogos sehingga 31 Ogos.

Antara laluan terlibat ialah Lingkaran Putrajaya/ Jambatan Saujana; Lebuh Sentosa/ Lebuh Wawasan; Trafik Light Lebuh Wawasan/ Jambatan Wawasan (Dari Arah P9); Susur Lebuh Sentosa/ Lebuh Wawasan (Dari Arah P. Utara); Trafik Light Lebuh Wawasan/ Jalan P8H;Bulatan Salahuddin/ Dataran Perdana; Trafik Light Lebuh Bestari/ Jalan Tun Hussien; Trafik Light Jalan Pembangunan/ Jalan Tun Hussien; Trafik Light Jalan Kemerdekaan- P18/ Jalan Tun Hussien; Trafik Light Lebuh Setia/ Jalan Tun Hussien; Trafik Light Lebuh Saujana/ Jalan Tun Hussien; Trafik Light Lingkaran Gemilang Satu/ Persiaran Perdana; Trafik Light Lebuh Gemilang/ Persiaran Perdana–Jambatan Gemilang; dan Lebuh Sentosa/ Jambatan Saujana.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE