KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober ini dijangka akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pelaburan tenaga bersih serantau.
Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, AEBF 2025 akan memainkan peranan dalam menyokong agenda integrasi tenaga serantau, pembiayaan lestari dan peralihan tenaga yang adil dan inklusif.
"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan menjadikan AEBF sebagai medan perkongsian strategik merentasi sempadan bukan sahaja daripada sudut kerjasama dasar dan teknologi, tetapi juga pelaburan dan rantaian nilai serantau.
"Selain itu, Malaysia turut akan memanfaatkan forum ini untuk ketengahkan peluang pelaburan dalam tenaga boleh baharu, hidrogen, teknologi rendah karbon, grid pintar serta penyimpanan tenaga,” katanya di Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengenai strategi kementerian menjadikan AEBF sebagai medan utama menarik pelaburan hijau berimpak tinggi.
AEBF 2025 dengan tema ‘Memperkasa ASEAN, Merapatkan Sempadan, Membina Kemakmuran’ dijangka menghimpunkan 1,500 delegasi dari negara serantau terdiri dari pemegang taruh, rakan dialog dan badan tenaga antarabangsa.
Tambah Akmal Nasrullah, AEBF juga dapat mempercepatkan usaha mewujudkan grid tenaga ASEAN seterusnya meningkatkan daya tahan tenaga, keterjaminan bekalan elektrik, serta menggalakkan tenaga boleh baharu bersepadu di rantau Asia Tenggara.