KOTA BHARU, 28 Oktober- Deposit RM4 juta untuk menyertai Program Visa Premium Malaysia (PVIP) telah diterima sejak permohonan dibuka 1 Oktober lepas.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, jumlah itu melibatkan 2,000 pemohon daripada 10,300 permohonan yang diterima setakat ini.
Angka itu menunjukkan ramai ekspatriat mahu tinggal di negara ini.
Bagi mengelak sebarang risiko, setiap permohonan diteliti menerusi pemeriksaan terperinci yang turut melibatkan INTERPOL.
“Kita kena semak orang itu baik ke betul ke dia layak ke tidak ada duit ke tidak. Dia boleh menguntungkan negara ataupun tidak kalau orang yang bukan-bukan yang kita tahu rekodnya tidak baik kita juga kerjasama dengan Interpol untuk pastikan kesahihan orang ini apakah mereka sebenarnya melakukan jenayah di negara dia sendiri lari dari negaranya.” kata Hamzah pada sidang media di Program Kita Demi Negara yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Dataran Lembah Sireh, di sini
PVIP akan diberikan dalam tempoh 20 tahun dan pemegangnya akan dipanggil untuk semakan setiap lima tahun.
(Datuk Seri Hamzah berucap pada Program Kita Demi Negara)