MARANG, 25 Januari - Jambatan merentasi Sungai Marang di Terengganu yang menghubungkan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Pahang akan dinaik taraf.
Projek infrastruktur berimpak tinggi dengan kos RM338.5 juta itu bertujuan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak selain meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata skop kerja menaik taraf itu tertumpu kepada kerja-kerja naik taraf jalan sedia ada sepanjang 1.5 kilometer serta naik taraf jambatan kepada empat lorong dua hala.
Katanya, Jambatan Sungai Marang itu adalah menjadi keutamaan pihaknya agar ianya dapat segera dilaksanakan seperti yang dimohon Kerajaan Negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Dengan menaik taraf jambatan itu, ia dilihat akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi rakyat terutama dalam sektor perikanan dan pelancongan.
"Dalam melaksanakan projek sebegini sudah pasti ianya akan mencabar, terutamanya ada aliran lalu lintas, kita akan mengurangkan dari segi pengurusan lalu lintas.
"Kedua keutamaan mesti diberi kepada keselamatan pengguna kawasan ini, kalau melalui kawasan ini, saya mengharapkan para kontraktor dalam melaksanakan projek ini mengambil kira berapa pentingnya keselamatan, kurangkan ketidak selesaan pengguna dengan pengurusan yang begitu baik sekali," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaik taraf Jambatan
merentasi Sungai Marang di sini.
Tambahnya, projek yang bermula Disember lalu dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2025.