fb fb fb fb fb

PERKESO Kelantan sasar 10,000 golongan bekerja sendiri mencarum di bawah SKSPS

TUMPAT, 25 Januari - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan menyasarkan lebih 10,000 golongan bekerja sendiri di negeri itu mencarum di bawah skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) tahun ini.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata setakat ini kurang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan 43,000 golongan itu mencarum di bawah skim tersebut.

Katanya, jumlah itu menunjukkan tahap kesedaran golongan tersebut tentang manfaat mencarum dibawah pertubuhan itu masih rendah.

Pelbagai inisiatif juga telah dilakukan pihaknya seperti ceramah di premis dan pejabat selain bekerjasama dengan 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meningkatkan kesedaran golongan tersebut.

"Kalau kita bekerja kita dicarum oleh syarikat tapi kalau orang bekerja sendiri siapa nak biayai dia siapa nak tanggung dia apabila berlaku kemalangan.

"Jadi atas dasar itulah kerajaan perkenalkan skim pekerjaan sendiri supaya orang bekerja sendiri juga turut mendapatkan perlindungan daripada pihak PERKESO," katanya selepas menyampaikan cek faedah kepada keluarga dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini di Taman Sri Delima, Wakaf Bharu, di sini.

Tambahnya, Kelantan merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah golongan bekerja sendiri paling ramai seperti nelayan dan penghantar barang.

Media Baharu