fb fb fb fb fb

Tiga bangunan di Perlis diwartakan tapak warisan



KANGAR, 25 Januari - Istana Arau, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berhampiran Dataran Dato’ Sheikh Ahmad dan Masjid Alwi diwartakan sebagai tapak warisan.

Menurut Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri mewartakan Istana Arau dan Bangunan SUK lama pada 24 Februari 2011 manakala Masjid Alwi diwartakan pada 2 Februari 2018.

Ketiga-tiga bangunan tersebut sentiasa dijaga baik dan diselenggara secara berkala.

"Kita tidak boleh hanya bagi cantik sahaja, sebab dia ada kos, jadi kita harus mengambil faedah daripada kewujudannya iaitu menjadi tarikan kepada pelancong-pelancong yang datang ke perlis seperti mana yang berlaku di Melaka dan Pulau Pinang. Jadi kita kena ambil faedah ke atas bangunan-bangunan tersebut yang mana penyelenggaraan harus sistematik dan Insyaallah, kerajaan negeri memang sentiasa menyediakan sejumlah peruntukan tertentu. Untuk memastikan supaya bangunan ini diselenggara dan berada dalam keadaan baik," kata Azlan di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dalam melaporkan sebarang jumpaan yang mempunyai nilai warisan kepada pihak Jabatan Warisan Negara.

Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan tapak sejarah dan prasejarah terus kekal terpelihara sekaligus memberi impak kepada industri pelancongan negara mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Beliau turut menggesa agar semua pihak memberi kerjasama erat bagi memelihara khazanah ini agar tiada pihak mengambil kesempatan dan menceroboh kawasan yang mempunyai nilai sejarah.

 

Media Baharu