fb fb fb fb fb

Permohonan URUS dilanjutkan sehingga 31 Mac


FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 25 Januari - Permohonan bagi Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang sepatutnya berakhir hujung bulan ini, dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022.

Pelanggan B50 yang layak dan memerlukan lanjutan bantuan kewangan boleh membuat permohonan kepada bank masing-masing sehingga tempoh berkenaan.

Sementara itu bagi pelanggan B50 yang layak dan telah mendaftar bagi program bantuan banjir bank terlibat, tarikh tutup permohonan URUS dilanjutkan sehingga 31 Julai depan atau selepas tamat tempoh program bantuan banjir, yang mana lebih awal.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam satu kenyataan bersama.

URUS ditawarkan kepada pelanggan individu B50 dibawah program bantuan pembayaran balik sedia ada setakat 30 September 2021 dan memenuhi kriteria ditetapkan.

Permohonan boleh dibuat menerusi saluran perbankan internet, talian khidmat pelanggan bank atau ke cawangan terdekat.

Pelanggan yang masih memerlukan bantuan kewangan tetapi tidak layak untuk URUS digalakkan menghubungi bank untuk mendapatkan bantuan lain bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka.

Media Baharu