fb fb fb fb fb

RM3.1 juta nilai rampasan JKDM Johor

JOHOR BAHRU, 19 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas minuman keras dan rokok tanpa cukai bernilai lebih RM3.1 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan pada 30 November dan 1 Januari lalu.

Menerusi serbuan di Pelabuhan Johor pada 30 November, minuman keras bernilai RM1.5 juta yang disorok bersama muatan kotak air minuman berkarbonat dalam tiga kontena disita.

Pengarah JKDM Johor Misbahudin Parmin berkata, minuman keras berkenaan dipercayai tidak diikrar dalam muatan dagangan.

"Modus perandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu dan perakuan tidak benar di dalam bil muatan kapal semasa pengimportan dibuat.

"Ianya bertujuan mengaburi pandangan pihak berkuasa dengan mengelak daripada dikenakan duti import, cukai jalanan dan duti eksais," katanya kepada pemberita di Menara JKDM di Johor Bahru.

Dalam dua serbuan berasingan pada 1 Januari lalu, seorang lelaki warga Bangladesh berumur 34 tahun ditahan bersama minuman keras bernilai RM103,400 di sebuah kediaman di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor.

Manakala serbuan di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Pogoh Tengah, Segamat, 764,000 batang rokok kretek bernilai RM1.2 juta termasuk cukai disita.

Rokok tersebut yang disorokkan di bawah kanvas itu tidak bercukai dan disyaki diseludup dari Indonesia.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d), Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.

(Misbahudin Parmin)

Media Baharu