fb fb fb fb fb

Dasar Air Negara akan dibangunkan dengan kerangka melibatkan alam sekitar - Nik Nazmi

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 19 Januari - Dasar Air Negara akan dibangunkan dengan penekanan akan diberikan dalam kerangka pengurusan melibatkan alam sekitar, perubahan iklim, tenaga, biodiversiti serta sumber asli.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia akan dapat membantu aspirasi kerajaan dalam menggerakkan pendekatan baharu seperti ekonomi kitaran (circular economy) dan pembangunan hijau.

(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad)

"Dalam dasar air juga kita ada usaha yang berterusan seperti kita ada pelan 2040 untuk air (NRW)...macam saya kata benda itu tidak menarik tetapi ia adalah pentingkan untuk kita pastikan kita dapat meningkatkan keefisienan bekalan air kita," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat pada Majlis Himpunan Tahun Baharu Kementeriannya, di sini.

Dalam masa yang sama, sebagai strategi jangka masa panjang dalam menangani bencana geologi, kementerian juga akan menubuhkan Pusat Penyelidikan Bencana Geologi Kebangsaan bagi menjalankan kajian forensik bencana geologi dalam memperkukuh ramalan, pemantauan dan amaran bencana negara.

Tambah Nik Nazmi, penegasan turut akan diberikan terhadap isu pencemaran sisa plastik menerusi Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 sedang dan akan dilaksanakan, selain fokus terhadap isu pemanasan global.

"Pemanasan global akibat pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada aktiviti manusia memberi kesan langsung kepada sistem iklim global yang kini berada pada tahap membimbangkan dan menuntut tindakan progresif kita dalam melaksanakan tadbir urus perubahan iklim di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Justeru, fokus utama bagi tahun 2023 adalah untuk memperkemaskan tadbir urus perubahan iklim melalui pembangunan strategi-strategi penting negara untuk mengurangkan pelepasan karbon negara seperti membangunkan Pelan Hala Tuju Nationally Determined Contribution (NDC) dan Strategi Pembangunan Pelepasan Karbon Jangka Panjang (Long-term Low Emission Development Strategies -LT-LEDS)," katanya.

Media Baharu