PUTRAJAYA, 19 Januari - ‘Malaysia Madani’ diperkenalkan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Madani diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Berucap menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di Putrajaya beliau menyeru semua pihak khususnya barisan Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam supaya menerapkan Madani dalam setiap urusan pentadbiran.
"Sebab itu dalam mengungkap Madani ini kita tekankan tentunya pemerkasaan ekonomi, pemerkasaan budaya, tetapi terasnya adalah nilai etika atau akhlak. Aspek-aspek kemanusiaan yang diterima pakai oleh semua agama. Semua lairan faham, tetapi kadang-kadang sebahagian daripada fahaman itu meremehkan kekuatan keyakinan itu, bagi orang Islam akidah dan akhlak. Jadi bagi saya mengungkapkan Madani ini istilah mungkin dianggap baru tetapi sebenarnya tidak. Madani tu sudah disebut lama oleh pemikir-pemikir tetapi kita perkenal dan hebahkan kerana ia tekankan soal keyakinan dan kemanusiaan," kata Anwar ketika menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Malaysia Madani, di sini.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani
buku pada Majlis Pelancaran Program Wacana Membangun Malaysia Madani
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC))
Perdana Menteri menegaskan tiba masanya untuk menamatkan salah ukur kemajuan manusia dengan pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Kadar pengangguran juga tidak boleh dilihat dari segi perangkaan sahaja kerana tidak menggambarkan kesengsaraan dan penderitaan sebenar kemiskinan yang dialami rakyat atau kumpulan yang terjejas.
Justeru, pertumbuhan dan pengembangan perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas iaitu ekonomi manusiawi.
Ini kerana ekonomi manusiawi mengutamakan keperluan rakyat khususnya miskin dan terpinggir yang membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme yang tidak terkawal dan membiak ketidaksamaan kekayaan dan ketidaksamaan taraf hidup.
"Kalau meminjam pendapat 'enstein everything that can be counted does not necessarily count' maknanya kalau keluarga itu termasuk kategori miskin tegar, saudara tidak akan terpukau dengan angka. Saudara akan bergelut dengan permasalahan hidup. Kalau anak muda yang menganggur sudah tidak akan terpukau bahawa kadar pengganguran menurun kerana tidak ada jaminan masa depan saudara.
"Begitu juga kalau kita bicara tentang inflasi terkawal, tetapi bagi orang yang hidupnya di tahap yang lebih sukar dan rendah maka permasalahan itu, angka-angka itu tidak membantu sebab itu saya sebutkan tentang ekonomi manusiawi kerana ekonomi manusiawi itu akan tentunya menolak prinsip 'unbridled capitalism' yang sedikit sebanyak diamalkan oleh kita dahulu" katanya lagi.
Tambah beliau lagi, prinsip keadilan sosial juga menjadi tunjang konsep ekonomi manusiawi.
Beliau juga yakin ekonomi manusiawi bukan sahaja masih relevan bahkan mustahak sebagai pendekatan menyeluruh demi negara mencapai pertumbuhan ekonomi lestari yang juga prihatin rakyat dari segi rohani dan jasmani.