SIBU, 19 Oktober - Dianggarkan lebih RM900 juta diperlukan bagi pelaksanaan kerja menaik taraf empat seksyen redline dalam projek Pan Borneo di Sarawak.
Menurut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, empat seksyen utama dikenal pasti di bawah projek ini iaitu di Durin Salim di Sibu, Kemena di Bintulu, Tudan di Miri, dan Batu Kawa–Padawan di Kuching.
Jelasnya, setakat ini Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM231 juta bagi menaik taraf jalan di Seksyen Durin–Salim Sibu, di bawah Projek tersebut.
Kerja menaik taraf di Seksyen Durin–Salim yang merangkumi laluan dari Persimpangan Julau ke Persimpangan Lapangan Terbang Sibu dengan panjang keseluruhan 40.27 kilometer (km) diberi keutamaan kerana kawasan tersebut dikenal pasti sebagai kawasan paling kritikal dan berisiko tinggi kemalangan.
“Secara keseluruhan, kesemua seksyen ini anggaran perbelanjaan adalah lebih RM900 juta yang diperlukan, kini yang sudah diluluskan untuk mula dilaksana pada tahun depan iaitu Durin–Salim Seksyen adalah sebanyak RM231 juta", katanya semasa melakukan lawatan kerja ke Projek Redline di Seksyen Durin dan Salim Sibu di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan projek itu dijadualkan bermula secara berfasa pada tahun hadapan, sebaik peruntukan disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).
Projek Redline ini merupakan usaha kerajaan menaik taraf jalan persekutuan sedia ada agar menepati piawaian Lebuhraya Pan Borneo dan seterusnya diintegrasikan sebagai sebahagian daripada laluan utama lebuh raya tersebut.
Inisiatif ini dirangka bagi memastikan infrastruktur jalan raya di Sarawak terus berada pada tahap terbaik dari segi keselamatan, keselesaan dan kelancaran aliran trafik di samping mengoptimumkan penggunaan perbelanjaan kewangan Kerajaan Persekutuan.