KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan tindakan semakan terhadap skim perkhidmatan Pembantu Tadbir, yang didakwa masih tertinggal dalam pelaksanaan sistem saraan baharu perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, walaupun penjawat awam menghargai usaha kerajaan menaikkan gaji sebanyak lapan peratus pada Disember 2024 dan tambahan tujuh peratus seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025, skim Pembantu Tadbir masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi berhubung cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh CUEPACS.
“Untuk pelaksanaan sistem saraan perkhidmatan awam ini, kami masih lagi menunggu maklum balas daripada jabatan perkhidmatan awam khususnya dengan kedudukan skim pembantu takbir yang dilihat suatu skim yang sedikit ketinggalan, pada tiga skim-skim yang sama dengannya,"katanya pada sidang media di sini, hari ini.
CUEPACS pada semalam telah mengemukakan tiga opsyen utama kepada JPA bagi memastikan skim Pembantu Tadbir lebih relevan dan adil kepada penjawat awam yang memegang jawatan tersebut.
Antara cadangan termasuk menaik taraf skim Pembantu Tadbir N1 kepada N5, sejajar dengan kelayakan akademik semasa, pemberian kenaikan pangkat automatik selepas 15 tahun perkhidmatan dan pelaksanaan penerapan one-off, seperti yang pernah dilakukan bagi skim lain pada tahun 2016.
Jelasnya, ramai dalam kalangan Pembantu Tadbir kini memiliki kelayakan diploma, ijazah sarjana muda, malah sarjana dan PhD, namun masih menerima gaji berdasarkan kemasukan kelayakan SPM.
“Ini tidak adil kerana mereka memberi nilai tambah dan menjalankan tugas pentadbiran yang menjadi tunjang kepada operasi jabatan kerajaan. Kami mahu supaya peranan dan kelayakan mereka diiktiraf dengan sewajarnya,” jelasnya.
Tambah beliau, setakat ini tiada sebarang maklum balas atau sesi rundingan diadakan antara JPA dan CUEPACS berhubung cadangan tersebut, menyebabkan timbul keresahan dalam kalangan penjawat awam.
“Kami tidak menentang dasar kerajaan, cuma mahu penjelasan dan kepastian. Jika ada penambahbaikan, panggillah kami berbincang. Jangan biarkan ahli resah tanpa maklumat.
“Kami percaya tiga opsyen yang dikemukakan tidak membebankan kerajaan, malah boleh dilaksanakan secara berperingkat dengan implikasi kewangan yang minimum,” katanya.
CUEPACS turut berharap agar JPA menyegerakan pertemuan rasmi dengan pihaknya bagi membincangkan cadangan yang telah dikemukakan demi keadilan kepada lebih 100,000 Pembantu Tadbir di seluruh negara.