fb fb fb fb fb

Arab Saudi umum syarat kesihatan baharu bagi jemaah haji musim 1447H/2026M - TH

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan baharu untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad memaklumkan, antara syarat yang ditetapkan ialah jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal, selain berupaya menunaikan ibadat haji secara berdikari.

Jemaah dianggap tidak layak sekiranya menghidap penyakit seperti kegagalan buah pinggang kronik, penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik, penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif.

"Turut termasuk, warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif serta pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan, " katanya menerusi satu kenyataan.

Syarat tersebut perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah haji bagi melayakkan mereka memperoleh visa haji.

Mustakim turut memaklumkan, TH tidak lagi dibenarkan membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci, pada tahun depan.

Sebaliknya, jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar-pakar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

TH juga merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu.

TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M.

TH juga akan terus menyediakan klinik dan farmasi di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah, dikendalikan petugas kesihatan KKM.

"Keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) dan bakal jemaah mesti lulus pemeriksaan kesihatan KKM," tambah kenyataan itu.

EMMI NORALIZA ADNAN