KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Peruntukan sebanyak RM2 bilion kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pelaksanaan projek kabel dasar laut MADANI (SALAM) disifatkan sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh agenda digital negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, projek berkenaan bertujuan menggantikan Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SCREAM) yang telah digunakan sejak lebih sedekad lalu.
“Ini bagi menggantikan dan menambah baik kesalinghubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sistem kabel dasar laut SCREAM yang disiapkan pada 2012–2013 perlu diganti, dan RM2 bilion ini akan memastikan kesalinghubungan negara terus terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Belanjawan 2026 turut menyaksikan pengumuman pembangunan Sovereign Cloud oleh pihak MCMC, yang akan memperkukuh keupayaan penyimpanan serta keselamatan data negara secara berdaulat.
Kerajaan turut menyalurkan sokongan berterusan kepada sektor kreatif melalui inisiatif kandungan bawah FINAS, MyCreative Ventures dan beberapa agensi lain, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai pusat kandungan serantau.
Datuk Fahmi turut menegaskan belanjawan kali ini memperlihatkan komitmen kerajaan menyalurkan semula hasil penjimatan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk pendidikan percuma, bantuan bersasar, serta pengukuhan infrastruktur digital negara.
Antara manfaat utama hasil reformasi fiskal kerajaan, katanya, termasuk pelaksanaan pendidikan percuma kepada pelajar yang layak di bawah PTPTN, selain penerusan program seperti SARA, SDR dan Bantuan Awal Persekolahan.