fb fb fb fb fb

RM2.4 bilion diperuntuk naik taraf sistem air terawat Johor

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek peningkatan kapasiti dan pengagihan air terawat di Johor.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata berkata peruntukan itu disalurkan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah Pelan Perniagaan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. bagi tempoh operasi keenam dari tahun 2024 hingga 2026.

“Antara projek yang telah diluluskan peruntukan oleh PAAB adalah projek rezoning di negeri Johor seperti berikut. Cadangan kerja-kerja membina sistem agihan baru dari Loji Rawatan Air Semangar ke Tangki Bukit Kulai, Kota Tinggi Johor.

"Cadangan meningkatkan sistem bekalan air di Wilayah Iskandar, Johor Bahru dan cadangan membina sistem agihan utama dari Damansara Aliff ke Iskandar Puteri daerah Johor Bahru," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar mengenai langkah kerajaan meningkatkan kapasiti bekalan air terawat bagi negeri tersebut.

Akmal turut memaklumkan bahawa beberapa projek loji baharu sedang dan akan dilaksanakan.

Antaranya ialah Loji Rawatan Air Semangar 3 berkapasiti 200 juta liter sehari (JLH) dan LRA Kayu Ara Pasong berkapasiti 90 JLH yang kini berada di peringkat reka bentuk.

Sementara itu, LRA Layang 2 Fasa 1 berkapasiti 160 JLH telah siap pada Mac 2024, manakala LRA Layang Fasa 2 dengan kapasiti sama dijangka siap menjelang akhir tahun 2027.

Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air terawat dari Singapura, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan beberapa projek utama termasuk pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Johor, pembinaan Baraj dan TAPS Sungai Pontian Besar, serta TAPS Sungai Sedili Besar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD