fb fb fb fb fb

RM2.1 juta dikumpul bantu selamatkan Harimau Malaya

Harimau Malaya / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 26 Julai - Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ berjaya mengumpul RM2.1 juta sejak dilancarkan pada 2021, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, sumbangan itu termasuk RM200,000 hasil jualan tiket perlawanan bola sepak yang disumbangkan oleh FAM ke dalam tabung kempen berkenaan.

“Sokongan FAM amat dihargai kerana ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah turut meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh timbalan menteri, Datuk Seri Huang Tiong Sii pada majlis sambutan Hari Harimau Sedunia, di sini.

Majlis peringkat kebangsaan itu diadakan menjelang sambutan Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai setiap tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Johari berkata, Jemaah Menteri telah meluluskan pelan strategik 10 tahun (2021–2030) untuk memulihara Harimau Malaya melalui tiga pendekatan utama: menghentikan kemerosotan populasi, memperkukuh tadbir urus dan melindungi habitat jangka panjang.

Pemantauan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan peningkatan populasi harimau Malaya yang menunjukkan petanda positif terhadap keberkesanan usaha konservasi.

Malaysia kini sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa ‘Conservation Assured Tiger Standards’ (CATS) bagi Taman Negara di Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta Taman Negara Endau Rompin.

Selain itu, Hutan Simpan Hidupan Liar Tengku Hassanal juga dalam proses untuk diiktiraf sebagai Taman Warisan ASEAN (AHP).

FARIS IZZAT SHAHARUDIN