SEMPORNA, 26 Julai -Kementerian Kewangan (MOF) mengagihkan RM52.7 juta kepada 46,568 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tidak memiliki akaun bank, dalam siri program penunaian STR di seluruh negara.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz berkata, pengagihan itu, membabitkan 31 lokasi penunaian STR di pedalaman Sabah membabitkan 23,105 penerima.
Manakala, program sama diadakan di 25 lokasi di Sarawak melibatkan 20,775 penerima.
“Di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia pula program ini diadakan khusus untuk masyarakat Orang Asli di empat lokasi di Gua Musang, Kelantan, Jerantut dan Lipis di Pahang serta Hulu Perak, Perak membabitkan 2,688 penerima.
“Pada hari ini seramai 3,300 penerima di Pulau Bum Bum serta Pulau Mabul di sini, terbabit dengan program penunaian STR,” katanya selepas meninjau pelaksanaan program penunaian STR di Pulau Bum Bum, di sini.
Datuk Zamzuri berkata, selain tidak mempunyai akaun bank, hampir 47,000 penerima STR yang bermastautin di kawasan pedalaman itu juga berdepan kesukaran untuk menerima STR secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), kerana jarak jauh dan keperluan menaiki bot. - BERNAMA