JITRA, 26 Julai - Sebanyak 117 kes penyeludupan dadah berjaya ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak tahun 2020 hingga Jun lalu, melibatkan nilai rampasan hampir RM200 juta.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan betapa seriusnya ancaman sindiket dadah yang menggunakan perairan negara sebagai laluan utama.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menyeludup dadah.
Setiap inci sempadan laut adalah tanggungjawab kami,” katanya.
Tambah beliau, Maritim Malaysia kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, selaras kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa 80 peratus bekalan dadah masuk melalui laut.
Mengulas keupayaan agensi, katanya aset laut dan udara kini dipertingkat termasuk KM Tun Fatimah dan bot peronda generasi baharu.
"Maritim Malaysia dijangka menerima kapal EX-USCG Cutter Steadfast pada November 2025 dan helikopter AW189 pada 2026, manakala Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) dari Turkiye pula dijangka tiba pada 2027," jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kelulusan penambahan aset menerusi Kementerian Dalam Negeri.