fb fb fb fb fb

Malaysia saran guna GBC Thailand-Kemboja tangani krisis

Datuk Seri Mohamad Hasan

BESUT, 26 Julai - Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menyarankan mekanisme Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee – GBC) antara Thailand dan Kemboja diguna pakai bagi menyelesaikan konflik kedua-dua negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu dikemukakan susulan kegagalan gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi kedua-dua pemimpin negara terbabit dan mencapai kata sepakat awal.

“Saya cadangkan supaya mereka guna mekanisme GBC, biar jawatankuasa kawalan sempadan berunding terlebih dahulu cari jalan damai.

"Bila dah capai persetujuan, GBC boleh keluarkan kenyataan rasmi dan barulah kedua-dua pemimpin boleh sambut secara baik tanpa ego,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kawasan konflik ketika ini, namun Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan Bangkok kekal bersedia memberi bantuan jika diperlukan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN