fb fb fb fb fb

RM168.7 juta peruntukan atasi kesesakan di sempadan Johor-Singapura

JOHOR BAHRU, 11 Oktober - Kerajaan mengumumkan empat inisiatif baharu bagi mengatasi isu kesesakan laluan masuk di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura yang melibatkan peruntukan RM168.7 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan itu adalah penambahan termasuk untuk membina tambahan 77 laluan M-Bike dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.7 juta.

Katanya, pelaksanaan itu merupakan Fasa 3 yang merangkumi tiga projek fizikal selain pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM7.93 juta setahun.

"Peruntukan juga merangkumi 44 laluan M-Bike di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 33 laluan M-Bike di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.

"Ini termasuk penggabungan dewan , naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB berjumlah RM106.9 juta membabitkan tiga projek Fasa 2 yang diluluskan Mac lalu.

"Pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred bukan sahaja akan diberikan kepada pegawai bertugas di pintu masuk di BSI dan KSAB, malah turut membabitkan pegawai bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan KLIA2," katanya pada sidang media secara dalam talian di BSI di sini, hari ini.

(Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Fadillah secara dalam talian/FOTO Liew Chin Tong)

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau CIQ, sebelum menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Fadillah secara dalam talian.

Berdasarkan statistik, jumlah pengembara di kedua-dua pintu masuk BSI dan KSAB adalah seramai 71 juta pada tahun 2022 selepas pintu masuk negara dibuka semula 1 April tahun lalu.

Angka itu dijangka meningkat kepada 157 juta pengembara yang akan melalui kedua-dua pintu masuk di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura di Iskandar Puteri menjelang 2025.

Media Baharu