IPOH, 16 April- Sejumlah RM16.5 juta diluluskan bagi projek jalan pintas dari Jalan Persekutuan 1 (FT001) ke Jalan Persekutuan 59 (FT 59) bagi menyelesaikan masalah trafik di Tapah.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata projek itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya Mei depan.
Setakat ini, kerja-kerja fasa pertama pembaikan trafik di Pekan Tapah mencapai 95 peratus siap.
"Skop kerja bagi projek ini adalah membina jalan baharu sepanjang 300 meter dengan piawaian R5 (jalan sehala dua lorong) dari Laluan Persekutuan 1 (FT001) dan Laluan Persekutuan 59 (FT59) yang melibatkan kerja-kerja geoteknik, pemasangan lampu jalan, membina sistem perparitan, pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti, pengambilan balik tanah dan lain-lain kerja yang berkaitan," kata Datuk Seri Mohammad Nizar, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke 15 di Bangunan Darul Ridzuan di Ipoh.
Mengulas lanjut, Majlis Daerah Tapah sedang melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan pembaikan semula lot-lot parkir bagi menyelesaikan masalah parkir di kawasan berkenaan.