KOTA BHARU, 16 April – Kelantan akan menjadi negeri pertama di Pantai Timur yang menggunakan perkhidmatan bas elektrik bermula Julai depan, menerusi inisiatif Konsortium E-Mutiara Berhad.
Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail, sebanyak lapan buah bas elektrik akan digunakan dalam perkhidmatan bas henti-henti melibatkan kos melebihi RM11 juta.
Katanya, perkhidmatan tersebut akan merangkumi empat laluan utama sekitar Kota Bharu, iaitu
Kota Bharu - Lapangan Terbang - Sabak, Kota Bharu melalui Panchor - Kemumin - Sabak, Kota Bharu - Pengkalan Chepa, dan Kota Bharu - Pantai Cahaya Bulan (PCB)
“Tambang perkhidmatan telah ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), manakala kami hanya mengendalikan operasi perkhidmatan,” katanya kepada media ketika Majlis Sambutan Aidilfitri syarikat berkenaan, di sini.
Che Ibrahim turut memaklumkan bahawa syarikat kini sedang mencari 50 orang pemandu bas baharu, termasuk 20 pemandu wanita, bagi menyokong pengoperasian Bas.My yang akan bermula tidak lama lagi.
Jelasnya, pada masa ini, syarikat sudah mempunyai 40 pemandu lelaki.
Dalam pada itu, bermula Julai ini, pelajar, mahasiswa, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) akan menikmati perkhidmatan bas henti-henti secara percuma ke mana-mana destinasi.
Untuk menikmati kemudahan percuma ini, golongan tersebut perlu berdaftar dengan Konsortium E-Mutiara dan menunjukkan kad pengesahan setiap kali menaiki bas.
Tambah beliau, hampir 300 pemandu bas Konsortium E-Mutiara diwajibkan menjalani ujian air kencing secara berkala, bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Kami memandang serius isu ini kerana ia melibatkan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya,” katanya lagi.