fb fb fb fb fb

RM105 juta setahun subsidi bas henti-henti - Anthony Loke

(Anthony Loke)

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM105 juta setahun di bawah program bantuan subsidi dana Interim Stage Bus Servis Fund (ISBSF) bagi menjamin penyediaan perkhidmatan bas henti-henti yang berterusan kepada rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dana tersebut merangkumi penyediaan di 265 laluan di Semenanjung Malaysia dan 88 laluan bas di Wilayah Sabah dan Sarawak

"Selain itu, melalui Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST/MyBAS), kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM150 juta pada 2023 bagi membiayai perkhidmatan MyBAS sedia ada dan juga peluasan MyBAS yang sedang diusahakan untuk beberapa bandar lain.

"Ia bertujuan untuk menambah baik perkhidmatan dari aspek kemampanan, kebolehharapan dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Program ini juga dijangka akan dikembangkan ke bandar-bandar lain secara berfasa," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali di Dewan Rakyat, di sini.

Pada masa sama, kementeriannya juga dalam kajian memperkenalkan perkhidmatan bas berdasarkan permintaan bagi meningkatkan kesalinghubungan perkhidmatan pengangkutan awam darat dalam menghubungkan stesen rel dengan kawasan petempatan atau lokasi pekerjaan.

Dalam perkembangan lain, Anthony turut berharap agar penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi perkhidmatan bas dapat diperluaskan.

Namun, beliau mengakui masalah kos untuk memiliki bas berteknologi tersebut menjadi isu utama dalam melaksanakannya.

"Kos membeli bas EV agak tinggi. Setakat ini, kos untuk membelinya adalah sekali ganda lebih mahal daripada bas biasa. Kalau boleh kita semua nak bas EV, tetapi hakikatnya ialah kos yang begitu tinggi untuk membeli EV.

"(Begitu juga), isu berkenaan pengecasan, ini juga isu yang perlu ditangani.

"Mana-mana pihak ada cadangan yang baik dalam perkara ini, (iaitu) bagaimana dapat perluaskan perkhidmatan EV dengan kos tidak begitu tinggi kepada kerajaan, kami kami amat mengalu-alukan perkhidmatan tersebut," katanya lagi.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu