KUALA LUMPUR, 23 Julai – Bantuan RM100 akan diberikan kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.
Bantuan diberikan secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
"Ini bermakna, bagi keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan dua orang anak, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM400. Bagi pasangan suami isteri tanpa anak pula, jumlah bantuan ialah RM200. Secara keseluruhan, seramai 22 juta rakyat akan menerima manfaat ini, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion.
"Peruntukan ini adalah tambahan kepada RM13 bilion di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM15 bilion bagi tahun 2025," katanya dalam pengumuman khas yang disiarkan hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, bantuan tersebut boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025, bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.