BENTONG, 14 Oktober - Peruntukan dana RM100 juta untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata peruntukan itu juga akan digunakan untuk membantu pelajar India yang berkelayakan untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan semua kaum di negara ini menerima manfaat.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah mengumumkan satu bajet yang menyeluruh untuk memberi bantuan kepada semua lapisan masyarakat khususnya masyarakat India.
"Saya percaya dengan sumbangan ini dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi masyarakata India khususnya untuk pembangunan rumah ibadat dan juga Sekolah Jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Konvensyen MIC Negeri Pahang ke-77 di Berjaya Hill Bukit Tinggi hari ini.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, pelajar dari golongan keluarga B40 atau M40 yang layak boleh memohon melalui MITRA untuk mendapatkan sumbangan 'one-off' apabila menerima tawaran ke IPT.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan dana RM100 juta untuk MITRA.